Tuesday, March 30, 2010

Teruskan Perjuangan…

Sejajar dengan matlamat dan asas utama sebagai sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara, UMNO tetap konsisten dalam melaksanakan tanggungjawab tanpa mempedulikan hal-hal remeh yang melingkari situasi sekeliling.

Tidak dinafikan bahawa UMNO sering sahaja dilemparkan dengan pelbagai propaganda dan provokasi atas tujuan cuba melemahkannya, namun ia ternyata tidak berjaya sebaliknya pihak yang berbuat demikian pula yang tenggelam punca.

Lantaran itu, UMNO menerima kenyataan dan berpegang teguh kepada kebenaran. Tanpa mempedulikan pertelingkahan dalam sekutu pakatan campuran, para pemimpinnya terus aktif melaksanakan amanah dan tanggungjawab seiring dengan agenda Perdana Menteri yang juga Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam rasional dan keterbukaan yang diamalkan, para pemimpin tertinggi bersama dengan ahli-ahlinya bukan hanya sanggup untuk menerima teguran dan kritikan tetapi juga menerima hakikat atas setiap kelemahan dengan terus berusaha untuk memperbaikinya.

Biar apapun helah pakatan pembangkang dalam cubaan mereka untuk memperoleh kedudukan, pangkat dan kuasa, UMNO tidak pernah terperangkap dan termakan mana-mana agenda mereka malahan fokus utama ke arah kemajuan dan kesejahteraan negara tetap menjadi teras utama.

Perlu diingat, cubaan melunturkan perjuangan UMNO bukanlah baru pertama kali dilakukan sebaliknya acapkali dibuat termasuklah perseteruan antara tiga parti pembangkang yang antara lain tujuannya adalah bagi menumbangkang kerajaan Barisan Nasional.

Sesungguhnya, perjuangan UMNO untuk memartabatkan bangsa, agama dan tanah air ini tidak pernah terhenti dan akan diteruskan walaupun generasi silih berganti dengan mengharungi pelbagai rintangan dan dugaan demi untuk memastikan rakyat tidak tertindas dan negara tidak tergadai di samping agama terus dijulang.

No comments:

Post a Comment