Friday, May 15, 2009

UMNO P. Pinang Wujudkan Dua Sekretariat Dan Lima Jawatan Baru

PULAU PINANG, 15 Mei (Bernama) — Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang mewujudkan dua sekretariat serta lima jawatan baru untuk mengukuhkan perjuangan parti itu di peringkat negeri.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dua sekretariat itu ialah Pengaduan dan Kebajikan Awam serta Sekretariat Latihan yang masing-masing diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) iaitu Azlina Mehtab Ishaq dan Datuk Abdul Latif Mirasa.

Katanya, lima jawatan baru pula ialah Penolong Setiausaha, Zulkifli Yahaya, Setiausaha Eksekutif 1, Ramlan Ishak, Setiausaha Eksekutif 2, Ahmad Sahar Shuib, penolong bendahari, Datuk Mohd Salim Abdul Bari dan pegawai khas kepada pengerusi perhubungan, Datuk Nordin Mohd Noor.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama badan perhubungan itu di sini, beliau turut mengumumkan pelantikan beberapa anggota jawatankuasa badan itu.

Datuk Zainal Abidin Osman dipilih sebagai Timbalan Pengerusi badan itu manakala Datuk Azhar Ibrahim kekal sebagai Setiausaha perhubungan, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Bendahari), Datuk Musa Sheikh Fadzir (Ketua Penerangan) dan Raja Munir Raja Mustapa sebagai timbalan ketua penerangan.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno, pengekalan Azhar dan Musa dalam pasukan baru ini dibuat berdasarkan komitmen dan keperluan untuk meneruskan tugas dan tanggungjawab sebelum ini.

Katanya, penubuhan dua sekretariat itu pula adalah antara usaha parti untuk mendekatkan diri dengan rakyat bagi membolehkan sebarang masalah disalurkan kepada parti dan diselesaikan dengan baik.

Menurutnya, latihan juga akan diberi kepada semua kepimpinan parti di peringkat perhubungan, bahagian dan cawangan untuk mengukuhkan jentera Umno negeri.

Beliau juga menetapkan bahawa mesyuarat badan perhubungan itu akan diadakan pada setiap Jumaat minggu keempat setiap bulan secara bergilir di semua 13 bahagian bagi mengukuhkan hubungan anggota parti.

“Saya mahu semua 13 bahagian Umno di negeri ini menumpukan kepada penganjuran aktiviti yang mendekatkan diri dengan rakyat dan prihatin kepada keperluan mereka tanpa mengira kaum manakala program berbentuk infrastruktur dan perniagaan hendaklah diketepikan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan mahu semua bahagian Umno di negeri ini menyelesaikan masalah dalaman mereka lebih awal dan beliau akan bertemu dengan semua ketuacawangan termasuk sayap-sayap parti bagi membincangkan mengenai perkara itu.

Ketika ditanya mengenai pendirian Umno Pulau Pinang sama ada mahu bertanding atau sebaliknya pada pilihan raya kecil Penanti, katanya, keputusan itu tertakluk kepada keputusan Barisan Nasional (BN) Isnin ini.

“Bagaimanapun, Umno negeri tetap mengadakan persediaan bagi menghadapi kemungkinan kita bertanding,” katanya sambil enggan mengulas mengenai calon yang akan dikemukakan oleh parti itu kelak.

Mengenai hubungan Umno Pulau Pinang dengan Gerakan, beliau menyifatkan hubungan mereka berada dalam keadaan baik dan perbincangan telah diadakan dengan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon serta pemimpin BN Negeri yang lain.

“Umpama carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga…kita dalam satu keluarga, itu perkara biasa dan semua parti pun menghadapi masalah yang sama juga,” katanya.

– BERNAMA

Sunday, May 10, 2009

Selamat Ulang Tahun UMNO Ke-63


umno63-copyKUALA LUMPUR, 11 Mei – Hari ini genap usia UMNO 63 tahun, satu usia yang cukup matang dalam mengharungi perjuangan khususnya membawa bangsa ke arah kecemerlangan dan kemajuan tanpa menidakkan kepentingan agama yang menjadi landasan mengikut acuan budaya ketimuran.

Menilai kembali tarikh tersebut, ia bukanlah suatu jangka masa yang singkat apatah lagi untuk mengisi perjuangan dan memindahkannya untuk sama-sama dialirkan sebagai semanagat bangsa kepada generasi kedua hari ini.

Dalam menelusurinya, tentunya para pejuang hari ini bukanlah berjuang seperti tokoh terdahulu yang matlamatnya adalah untuk mengusir penjajah dan menuntut kemerdekaan sebaliknya ia lebih kepada pengisian dengan perjuangan ke arah pembangunan, kemajuan dan kecemerlangan yang bukan sahaja mencakupi aspek material tetapi juga minda dan intelek yang tinggi.

Namun demikian, idealogi yang diperjuangkan oleh UMNO tidak pernah berubah biarpun zaman berganti zaman, dan generasi muda telah menjadi pelapis, UMNO tetap kekal utuh sebagai sebuah parti politik yang mendukung cita-cita kebangsaan berlandaskan agama, bangsa dan negara.

Kerana itu, UMNO tetap relevan, dalam apa jua keadaan atau suasana yang dihadapinya, ia tetap teguh.
Tidak dinafikan bahawa sepanjang lebih enam dasawarsa usia UMNO, pelbagai dugaan sama ada pahit dan manis telah dilalui, badai mendatang bukan mudah melaluinya, gelombang mengganas tidak mudah dilawannya, tetapi lantaran tujuan murni penubuhannya, UMNO utuh bersama bangsa dan terus menjadi tunjang dalam negara.

Sememangnya, pengalaman lalu telah banyak menjadi tauladan apatah lagi UMNO pernah dilibatkan dengan pelbagai masalah yang bukan hanya timbul dari pihak luar sebaliknya dalam parti tersebut juga wujud pihak yang bersifat gunting dalam lipatan, api dalam sekam dan duri dalam daging.

Dari luar, UMNO menghadapi serangan dari parti-parti pembangkang dengan pelbagai cara serangan atas tujuan untuk melumpuhkan parti lantas mempunahranahkan untuk tujuan mengambil alih tampuk kepimpinan negara.

Pihak pembangkang melakukan pelbagai cara termasuklah dengan menabur fitnah dan serangan peribadi, melakukan provokasi dan manipulasi di samping bersikap bermuka-muka ibarat baik ada makna lantas menawarkan itu dan ini kepada ahli parti yang bersifat atas pagar untuk tunduk kepada mereka.

Dalam hal yang sama juga, pembangkang sendiri sanggup untuk mewujudkan satu kesatuan di kalangan mereka sendiri walaupun secara terang-terangan idealogi yang didukung amat berbeza, tetapi atas tujuan menghancurkan UMNO, mereka sanggup berlakon.

Malangnya, ia juga tidak dapat merosakkan UMNO sebaliknya parti-parti pembangkang sendiri yang terperangkap dalam agenda permainan mereka, namun demikian enggan mengakuinya dan kesalahan dipalitkan pula kepada UMNO juga.

Dalam parti sendiri pula, sememangnya wujud ahli-ahli yang bersikap musang berbulu ayam, sanggup merosak daripada membaiki sekiranya gagal mendapat keuntungan atau faedah atas apa yang dilakukan.

Pejuang parti sedemikian bersikap suam-suam kuku, dan mempunyai agenda sendiri menyertai UMNO iaitu bukan atas matlamat untuk agama, bangsa dan negara sebaliknya lebih bersifat peribadi dan untuk diri sendiri.

Lantaran wujudnya pejuang sedemikianlah, iaitu insan yang tidak layak disebut pejuang maka UMNO dipandang negatif oleh segelintir pihak, persepsinya diterbalikkan, kesederhanaan yang diletakkan dalam perjuangannya dipandang serong hinggakan dikata ia bersifat elit dan hanya untuk kroni semata-mata.

Kerana kepentingan peribadi dan kecewa kerana kuasa gagal dperoleh jugalah, UMNO turut diseret ke mahkamah hinggakan namanya dijaja dengan persepsi teramat buruk dan tokoh-tokoh lampau menangis mengenangkannya.

Namun demikian, itu semua sudah berlalu, yang baik jadi sempadan dan yang buruk jadi tauladan.

Dengan usia UMNO ke-63 ini, tekad diperbaharui dengan perubahan-perubahan yang akan lebih mesra kepada ahlinya dan rakyat di semua peringkat, untuk tetap meneruskan kesinambungan parti agar dapat menjadi pusaka untuk diwariskan kepada generasi seterusnya.

Lantaran itu juga, bersama-samalah kita meraikannya dengan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan ahli Majlis Tertinggi (MT) di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam in