Wednesday, October 13, 2010

JANGAN JADI MANUSIA PENAKUT Jadikan rasa takut gagal sebagai pendorong untuk berjaya

Saya terpanggil untuk membincangkan soal takut ini kerana saya fikir, Semua orang pernah dihantui rasa takut.Bahkan, berkemungkinan besar, setiap kita sama ada pernah mengalaminya atau sampai sekarang masih dihambat rasa takut itu.

Rasa takut ini boleh muncul dalam pelbagai bentuk dan keadaan.Kadangkala ia muncul bila kita mudah rasa terancam oleh seseorang, atau takut dalam situasi-situasi tertentu, hingga akhirnya ia menjerumuskan kita ke kancah tekanan perasaan yang keterlaluan.

HUBUNGAN JADI TEGANG

Dalam hubungan kita dengan seseorang pun boleh timbul rasa takut, lantas mengubah hubungan yang sihat menjadi hubungan tegang hingga membawa kegagalan kepada kita.

Ada pula segolongan orang dalam masyarakat kita yang terlalu terikut-ikut dengan cerita mistik dan tahyul lalu mengalami sindrom takut.

Mereka takut kepada apa yang dinamakan hantu dan makhluk halus, hantu di tanah perkuburan dan hantu yang kononnya gemar mencekik mangsa serta menghisap darah, hingga kadangkala kesemua ini mengatasi rasa takut mereka kepada Allah swt.

Ketakutan ini bahkan terbawa-bawa di dalam tidur sehingga melemahkan semangat, tubuh badan dan seterusnya minda mereka.Namun, apa yang lebih ketara dalam kehidupan masyarakat kita hari ini ialah rasa takut menghadapi kegagalan dalam hidup.

Seringkali kita dihambat rasa takut akan gagal, hingga ia menghalangi kita melakukan sesuatu kerja atau menunaikan sesuatu niat, walaupun ia suatu perkara yang baik untuk dilakukan.

Jika rasa takut ini hanya terbatas pada individu sahaja, kesannya mungkin tidak begitu terasa.Tetapi, apabila ia menjadi satu sifat kolektif sesebuah masyarakat, kesannya tentu akan lebih besar lagi.

Misalnya, orang Melayu kita terkenal dengan rasa takut untuk mencuba dan takut untuk mengambil risiko, menyebabkan kita kurang maju dari segi perniagaan.Kita tahu bahawa bidang perniagaan itu boleh membawa keuntungan besar, tetapi kerana rasa takut pada kegagalan atau takut menanggung rugi, maka kita lebih senang jadi masyarakat makan gaji - tiap-tiap bulan kita tahu kita akan dapat gaji dan hujung tahun pula mendapat bonus.

Setakat mana rasa takut itu akan meninggalkan kesan baik atau buruk, banyak bergantung kepada sikap kita dalam menanganinya.

KESAN LEBIH BURUK
Jika kita biarkan rasa takut itu menghantui hidup kita, maka kesannya mungkin lebih buruk.Kerana takut, kita tidak berani mencuba, lalu kita tidak tahu kekuatan sebenar kita.

Kerana rasa takut yang keterlaluan, kita jadi bimbang dan sugul dalam hidup, hingga akhirnya menimbulkan masalahmasalah yang lebih besar lagi.

Gunakan rasa takut itu untuk mendorongnya berusaha lebih gigih, maka insya-Allah ia akan meninggalkan kesan positif dan membawa kejayaan dalam diri kita.

Begitu juga sebagai sebuah masyarakat.

Saya fikir, masyarakat Melayu kita tidak boleh turutkan sangat sikap lama yang mudah ditakut-takutkan atau membiarkan diri dimomok-momokan dengan sesuatu, hingga boleh menjejas kemajuan yang kita impikan.

Baik sebagai individu atau pun sebagai sebuah masyarakat, kita tidak boleh takut untuk meneroka bidang-bidang baru terutama yang kita tahu mempunyai potensi untuk kemajuan hidup kita.

Jangan kerana rasa takut yang tidak bertempat, kita bataskan kehidupan kita pada perkara-perkara biasa yang hanya meletakkan kita di takuk lama, sedangkan dunia berputar ligat dan semakin jauh meninggalkan kita.

PUNCA KEGAGALAN

Ramai daripada kita yang mungkin tidak sedar bahawa rasa takut akan kegagalan itulah yang sebenarnya boleh menjadi punca kegagalan kita.

Bila kita biarkan rasa takut itu menghambat usaha kita untuk melangkah maju ke depan, maka ada kemungkinan kita akan terlepas peluang-peluang keemasan yang muncul sepanjang perjalanan hidup kita itu.

Rasa takut pada kegagalan boleh menyebabkan kita jadi malas untuk berusaha.

Rasa takut seperti ini juga boleh membuat kita berasa rendah hati dan hilang keyakinan diri.

Kita mempunyai pilihan untuk sama ada melihat kegagalan itu sebagai pengakhir segala usaha kita, atau melihatnya sebagai satu pelajaran berguna dalam perjalanan hidup kita seterusnya.

Setiap kali kita gagal, kita seharusnya berusaha belajar daripadanya dan menjadikannya sebagai modal untuk percubaan kita akan datang.

Tidak sukar untuk mencari orang yang berjaya yang pernah menghadapi kegagalan sebelumnya. Saya yakin, ramai juga orang yang pernah mengalami kegagalan dalam tahap-tahap tertentu kehidupan mereka.

Apa yang penting ialah kita tidak harus sama sekali membiarkan rasa takut terus-menerus menghambat usaha kita untuk mencapai kejayaan dalam hidup.

No comments:

Post a Comment