Saturday, August 1, 2009

UMNO P. Pinang bersedia

KUALA LUMPUR 31 Julai - UMNO Pulau Pinang sedia menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir ekoran kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman, pagi ini.

Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan merangka beberapa strategi selain menggerakkan segera jentera-jentera pilihan raya di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, tidak mustahil BN mampu menawan semula DUN Permatang Pasir asalkan semua pihak bekerja keras demi kelangsungan BN dan UMNO di negeri itu.

''Secara peribadi, saya agak bimbang untuk menghadapi pilihan raya ini, tetapi saya percaya apa yang berlaku ini adalah ujian Allah ke atas saya. Ini juga ujian pertama saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri

''Saya yakin sekiranya kita bekerja keras, BN dan UMNO mampu membuat kejutan. Kita mampu merampas semula kerusi Permatang Pasir daripada Pas,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Kepada Pahlawan Tanah Air di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, permasalahan yang berlaku di dalam UMNO Permatang Pauh telah berjaya diselesaikan dan semua pemimpin serta ahli komited untuk membina semula kekuatan parti.

Sementara itu, beliau sebagai wakil UMNO Pulau Pinang turut memberi ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd. Hamdan.

Ahmad Zahid ditanya kesediaan BN dan UMNO untuk menghadapi sekali lagi pilihan raya kecil ekoran pemergian penyandang ADUN Permatang Pasir itu ke rahmatullah akibat sakit jantung pagi ini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pagi ini selepas menerima rawatan beberapa hari lalu.

''Oleh itu, saya mahu jadikan pilihan raya kecil kali ini sebagai bukti yang kita telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi tentangan daripada parti lawan. Kita akan buktikan yang kita mampu lakukannya,'' ujarnya.

''Saya berharap keluarga Allahyarham sabar menghadapi ujian ini dan saya mewakili diri saya dan semua ahli UMNO Pulau Pinang mengucapkan takziah,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment